Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mahu melupakan insiden kemalangan membabitkan dirinya dan pelumba Honda Racing Malaysia, Zaqhwan Zaidi di Sepang pada 2025.
Insiden kemalangan itu berlaku dalam pusingan akhir perlumbaan kedua Asian Superbike 1000 (ASB1000) Asia Road Racing Championship (ARRC).
Hasrat Hafizh menamatkan perlumbaan sebagai pemenang musnah apabila dilanggar Zaqhwan sehingga kedua-duanya terjatuh.
Hafizh dan Zaqhwan masing-masing menamatkan perlumbaan di tangga kesembilan dan ke-10. Susulan itu, rakan sepasukan Zaqhwan, Azroy Hakeem Anuar muncul juara perlumbaan.
Pelumba berusia 30 tahun itu kemudiannya dikenakan hukuman oleh ARRC disebabkan insiden berkenaan.
Apabila diminta mengulas tentang perkara itu, Hafizh memilih mahu melupakan insiden tersebut dan fokus kepada pusingan pertama ARRC tahun 2026.
“Sudah tentu dalam perlumbaan itu, nak kata salah diri saya, bukan salah saya sebab saya berada di depan. Nak mohon maaf dalam situasi ketika itu sangat tegang.
“Kita tahu dengan tekanan yang kita hadapi sebelum ini dan perjalanan karier saya dan sebagainya. Jadi, saya nak buktikan tapi pada ketika itu, bukan masa yang tepat.
“Bukan rezeki saya berada di podium dalam kedua-dua perlumbaan. Saya fokus kepada diri saya, hubungan saya dengan dia kelihatan normal. Dia buat hal dia, saya buat hal saya. Saya lebih pilih buat hal saya sajalah,” katanya kepada Nadi Arena.
Hafizh kini fokus mempertahankan gelaran juara ASB1000 menerusi pusingan pertama ARRC di Sepang dari 10 hingga 12 April ini.
Musim 2026 turut menyaksikan beliau akan bergandingan dengan jaguh Indonesia, Andi Farid Izdihar.