Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun Thailand, Issara Sritaro akur dengan kekalahan besar 0-4 di tangan Korea Selatan dalam aksi kumpulan E acara bola sepak Sukan Asia Hangzhou semalam.
Walaupun sedar sukar untuk menang berdepan dengan pasukan gergasi Asia itu, namun Srtitato meluahkan kemusykilan mengenai aksi yang dipersembahkan anak buahnya terutama pada separuh masa pertama.
Ini kerana barisan pemain Thailand terlalu mudah melepaskan gol walaupun tidak berada dalam tekanan. Dalam aksi tersebut, empat jaringan Korea Selatan terhasil pada separuh masa pertama iaitu pada minit ke-15, minit ke-20, minit ke-39 dan juga minit ke-45.
“Saya ingin memohon maaf kepada penyokong kerana melepaskan empat gol terlalu awal. Permainan tidaklah begitu tertekan namun pemain telah melepaskan gol dengan mudah,” luah Sritaro seperti dilaporkan VietnamPostsen.
Dalam pada itu, Sritaro turut sedar pemain Korea Selatan menghukum kesilapan para pemainnya dan mengakui tidak banyak peluang buat pemainnya melakukan percubaan.
“Korea bermain dengan intensiti tinggi dan menghukum semua kesilapan kami dalam sekelip mata. Kami tidak banyak peluang untuk menjaringkan gol menentang pasukan besar Asia,” jelasnya lagi.
Peluang masih terbuka untuk Thailand mara ke peringat seterusnya. Ini kerana, Thailand kini berada di tangga ketiga kumpulan E hanya dibezakan satu mata dengan pasukan di tangga kedua, Bahrain. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan 16 terakhir.