Susulan kekalahan 7-0 kepada Liverpool beberapa hari lepas, kerenah ramai pemain Man Utd dipersoalkan penyokong Red Devils. Antara yang terkena ialah Wout Weghorst selepas dia didapati menyentuh papan tanda ‘This Is Anfield’ semasa bergerak keluar dari bilik persalinan ke padang.
Ramai berpandangan disebabkan tindakannya itu, ia menyumbang kepada kekalahan terburuk United dalam tempoh lebih seabad. Selepas beberapa lama, bekas penyerang AZ Alkmaar itu menjawab kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
“Kebiasaannya, saya takkan beri reaksi kepada topik-topik media tetapi untuk kali ini, ia berbaloi disebabkan anda penyokong @manchesterunited amat penting kepada saya. Saya ingin jelaskan tentang video yang sedang tular.
“Semasa bersama pasukan kebangsaan (Belanda), saya tahu Virgil (van Dijk) sentiasa menyentuh papan tanda itu dan satu-satunya niat saya ialah menghalangnya daripada berbuat demikian selain mengenakannya sebelum perlawanan.
“Semasa kecil, saya menyokong FC Twente dan sebagai pemain yang kini bangga mewakili Manchester United, dedikasi saya terhadap kelab ini tidak boleh dipersoalkan.
“Hari Ahad lepas merupakan hari yang teruk untuk kita semua, kami sedang berusaha untuk memperbetulkan keadaan pada minggu hadapan (minggu ini). Kita akan bangkit semula dan mencapai semua sasaran musim ini,” kata Weghorst menerusi satu catatan di Instagram.
Penyerang Belanda itu berharap ia dapat diterjemahkan dalam bentuk kemenangan ke atas Real Betis (Liga Europa) dan Southampton (EPL) selepas ini.