Senarai 30 orang pemain Harimau Malaya yang dibawa oleh jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyaksikan hanya Corbin-Ong merupakan pertahanan ’regular’ yang berada dalam senarai tersebut sungguhpun kehadiran Dion Cools mampu memberikan saingan.
Corbin merupakan pertahanan utama Malaysia yang kebal mengisi tempat pertahanan kiri sejak tahun 2018 sungguhpun Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat pada posisi ini.
Namun begitu, bekas jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe memutuskan untuk tidak membawa pemain berusia 30 tahun ini pada edisi Piala AFF tahun lalu yang menyaksikan Malaysia pulang awal.
Kini, pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ini kembali mendapat tempat bersama pasukan kebangsaan sekaligus bakal menguatkan lagi barisan pertahanan negara.
Sungguhpun begitu, pemain kelahiran England-Barbados ini dilihat sebagai calon yang paling ideal memandangkan beliau merupakan tunjang utama pasukan JDT sejak beberapa musim ini.
Bekas pertahanan tinggi lampai pasukan Go Ahead Eagles ini membantu JDT untuk menjuarai Liga Super buat musim kelapan berturut-turut selain membawa pasukan ke pentas akhir Piala Malaysia selain menjulang Piala Sumbangsih pada awal musim ini.
Walaupun kedudukan beliau dilihat agak selesa di posisi tersebut, namun kehadiran pemain kelahiran Belgium, Dion Johan Cools dilihat mampu memberi cabaran untuk mengisi posisi tersebut.
Hal ini disebabkan, sungguhpun diketahui umum bahawa pemain berusia 25 tahun itu sinonim dengan posisi di sebelah kanan, namun beliau hakikatnya mampu beraksi di semua posisi pertahanan termasuklah pertahanan kiri.
Ketika beraksi bersama pasukan FC Midtjylland, Cools telah berjaya melakukan 12 penampilan bersama pasukan sebelum dipinjamkan keluar. Namun begitu, beliau banyak beraksi di posisi pertahanan kiri ketika masuk sebagai pemain gantian.
Ini sekaligus membuktikan kemampuan sebenar beliau untuk beraksi di mana-mana posisi disebabkan kebolehan teknikal yang baik dalam mengatur gerak pasukan.
Kebolehan Cools untuk membantu serangan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pasukan sungguhpun beliau tidak beraksi pada posisi kegemarannya iaitu pertahanan kanan.
Namun begitu, tempoh pinjaman bersama kelab baharunya, Zulte Waregem menyaksikan beliau kembali bermain di posisi pertahanan kanan selain berjaya membuat 8 penampilan dalam kesebelasan utama pasukan.
Kemampuan kedua-dua pemain ini dilihat sebagai satu perkara yang cukup positif dalam kem Harimau Malaya selain kehadiran pertahanan kiri Negeri Sembilan, Khair Jones yang suatu ketika dahulu pernah bersama pasukan mampu memberi saingan sengit pada posisi tersebut.
Malaysia dijadual berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Peringkat 1 Antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, sebelum menentang pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.