Pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools menyatakan bahawa kelabnya Buriram United sudah lama mengintai khidmatnya.
Bekas pertahanan FK Jablonec itu akui Buriram United adalah sebuah pasukan yang kuat di Asia. Oleh sebab itu, beliau memilih untuk berkelana di Thailand.
“Buriram adalah kelab terbesar di Asia, dan saya adalah pemain bebas. Ia adalah satu langkah yang baik.
“Buriram percaya kepada saya. Mereka juga mahukan saya sudah lama, jadi saya berpindah ke sini.
Dalam pada itu, pemain berusia 26 tahun ini akui sangat gembira dengan suasana disini. Beliau mahu memberikan yang terbaik buat kelab baharunya ini.
“Saya mahu menikmati bola sepak di mana sahaja saya bermain, sama ada di Asia atau Eropah. Saya menikmatinya setiap saat. Bagi saya, ia gembira dengan masa ini.
“Saya suka berada di Asia kerana keluarga saya suka di sini. Saya dan keluarga akan melawat Malaysia sebanyak mungkin jika ada masa terluang.
“Saya kini memberi tumpuan kepada permainan di Thailand dan sangat gembira berada di Thailand,” katanya dipetik daripada SNE Sports.
Baru-baru ini Dion Cools berjaya membantu Buriram United layak ke peringkat seterusnya dalam saingan Thai League Cup menewaskan Muangthong United dengan keputusan 2-1.
Buriram United kini menghuni tangga pertama liga dengan 42 mata selepas 16 perlawanan mencatatkan 13 kemenangan dan 3 seri.
Khidmat Dion Cools pasti di tagih untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah yang dipegang oleh Buriram United ketika ini.