Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools dilaporkan berada dalam radar kelab J1 League, Cerezo Osaka.
Ball Thai melaporkan kelab Jepun itu mengadakan perbincangan dengan pemain berusia 28 tahun itu. Ini kerana Cools mempunyai baki kontrak sehingga 30 Jun ini.
Selepas tarikh tersebut, beliau akan menjadi ejen bebas dan mampu berunding dengan mana-mana kelab yang berminat.
Sekiranya perpindahan ini dimuktamadkan, Cools bakal kembali bekerjasama dengan bekas jurulatih Thunder Castle, Arthur Papas. Jurulatih Australia itu kini melatih Cerezo selepas meninggalkan Buriram pada Mac 2024.
Cools dijangka bersaing dengan Takumi Nakamura dan Hayato Okuda untuk slot bek kanan Cerezo. Selain bek kanan, beliau juga mampu beraksi sebagai bek tengah.
Musim 2024/25 menyaksikan Cools merekodkan 50 penampilan, empat gol dan sembilan bantuan gol untuk Buriram.
Beliau juga berpeluang meraih empat trofi bersama Thunder Castle. Selepas memenangi Thai League 1, Cools berpeluang menggondol trofi Shopee Cup, Thai FA Cup dan Thai League Cup musim ini.