Pemain pertahanan Malaysia yang juga merupakan pemain Buriram United, Dion Cools berjaya membuktikan bahawa kehadiran beliau ke kelab gergasi Thailand itu nyata membuka mata ramai pihak.
Ini kerana, nama Dion Cools telah terpilih sebagai kesebelasan terbaik Liga Thailand untuk kesemua perlawanan yang dilalui pada bulan Ogos. Selain Dion Cools, bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Willian Lira turut tersenarai dalam kesebelasan utama.
Penyenaraian Dion Cools itu dipercayai selepas pemain berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi berkualiti dalam tiga perlawanan yang dilalui pada bulan Ogos. Dalam tiga aksi tersebut, Cools berjaya mencatatkan satu bantuan gol walaupun beraksi sebagai pertahanan tengah.
Manakala pemilihan Lira juga bukanlah satu kejutan buat arena bola sepak di Thailand kerana penyerang dari Brazil itu mempamerkan aksi memukau bersama Chonburi FC. Dalam tiga aksi yang telah diharungi, Lira berjaya meledak empat jaringan.
Namun empat jaringan yang dihasilkan Lira itu gagal membantu Chonburi mencipta kemenangan dalam tiga aksi awal Liga Thailand. Chonburi hanya berjaya mencatatkan dua keputusan seri dan mengalami satu kekalahan.
Kemampuan Cools dan Lira di Liga Thailand dijangka akan terus dapat disaksikan para peminat bola sepak di Thailand selepas ini memandangkan Liga Thailand baru sahaja bermula pada awal Ogos yang lalu.