Dion Cools Dapat Izin Berhijrah Ke Cerezo Osaka?
MakanBola
Buriram United FC

Kelab gergasi Thailand, Buriram United dilaporkan bersedia untuk melepaskan pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools bagi berhijrah ke Cerezo Osaka.

Sebelum ini, laman berita di Thailand memaklumkan bahawa terdapat minat dari sebuah kelab Liga Jepun, Cerezo Osaka bagi merekrut Dion Cools dengan rundingan sedang berjalan antara kedua-dua pihak.

”Dilaporkan bahawa Cerezo Osaka sedang dalam rundingan memuktamadkan perpindahan tonggak pertahanan pasukan kebangsaan Malaysia milik Buriram United, Dion Cools,” ujar Ball Thai.

Terkini, laman Asean Football mendedahkan bahawa Buriram Untied bersedia memberi keizinan dengan melepaskan Dion Cools ke kelab divisyen 1 Jepun berkenaan meskipun kontrak beliau masih berbaki setahun.

”Dion Cools bakal menyertai Cerezo Osaka dalam saingan J League, selepas Buriram United bersetuju melepaskannya walaupun pemain itu masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya bersama kelab Thailand itu,” kata Asean Football.

Andai benar perpindahan ini berlaku, Cools bakal kembali bersama bekas pengendali Buriram United, Arthur Papas yang ketika ini sedang membimbing Cerezo Osaka sejak 1 Januari lalu.

Walau bagaimanapun tiada pengesahan rasmi lagi dari pihak Buriram United, Dion Cools mahupun kelab Cerezo Osaka ini ketika mana saingan liga domestik sedang berlangsung buat masa ini.

Musim 2024-2025 ini menyaksikan Cools telah merekodkan 50 penampilan bersama Buriram United dan menjaringkan 4 gol selain melakukan 9 bantuan jaringan buat skuad Thunder Castle.

Manakala, Cerezo Osaka pula sedang berada di tangga ke-11 Liga Jepun dengan mengutip 22 mata selepas 17 perlawanan hasil 6 kemenangan, 4 kali seri dan 7 kekalahan untuk musim 2025 ini.