Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools telah kembali berlatih bersama juara Thai League 1 musim 2023/24, Buriram United.
Sebelum ini, timbul tanda tanya tentang status pemain pertahanan berusia 28 tahun itu bersama Thunder Castle.
Ini selepas kelab gergasi Thailand itu berbelanja besar sebagai persiapan untuk menghadapi kempen musim 2024/25. Antara pemain yang dibawa masuk ialah Neil Etheridge, Curtis Good, Marcelo Djalo dan Charalampos Charalampous.
Kehadiran Good dan Djalo dilihat bukan saja mencabar posisi bek tengah yang ketika ini diisi oleh Cools, Kim Min-hyeok dan Jefferson Tabinas.
Malah, ini turut mengundang persoalan tentang masa depan Cools. Berdasarkan semakan terkini di Transfermarkt, kontrak pemain berdarah Sarawak-Belgium itu berakhir pada 30 Jun lalu.
Kini, Cools dilaporkan kembali menjalani latihan pra-musim bersama Thunder Castle. Ini selepas Buriram United memuat naik siri gambar latihan pra-musim pada 1 Julai lepas.
Cools menjalani sesi latihan pra-musim di bawah pemantauan jurulatih baru pasukan itu dari Brazil, Osmar Loss Vieira.
Sepanjang bersama Buriram, beliau telah merekodkan 61 penampilan, tiga gol dan tiga bantuan gol. Antara pencapaian terbaik Cools ialah kejayaan treble musim 2022/23 untuk Thunder Castle.