Advertisements
Dion Cools Lega Bertemu Oman Sekali Lagi Dalam Tempoh Singkat
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pemain pertahanan Malaysia, Dion Cools merasakan pertemuan dengan Oman pada esok 26 Mac adalah sesuatu perkara yang positif apabila ianya berlaku dalam tempoh yang singkat.

Ini kerana bagi Cools, segala kesilapan yang dilakukan pada perlawanan lepas akan diperbetulkan segera dan berharap ianya tidak akan diulangi lagi.

“Kami perlu perbetulkan sedikit kesilapan daripada perlawanan lalu, bagus kerana jarak dua perlawanan yang dekat untuk kami perbetulkan.

“Aksi di laman sendiri lebih baik buat pemain negara dan harapnya kami memperoleh kemenangan. Mereka bermain sebagai satu unit yang hebat. Kita perlu buat yang terbaik untuk beraksi sebaik mungkin esok,” jelas Cools dalam sidang media pra perlawanan sebentar tadi.

Pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 tempoh hari, Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 kepada Oman yang beraksi sebagai tuan rumah.

Cools melaungkan keyakinan agar pintu gol Malaysia tidak dibolosi oleh barisan pemain Oman dengan syarat pemain Malaysia perlu mencipta lebih banyak peluang berbanding perlawanan lalu.

“Kita bolos dua gol pada aksi yang lalu, kita akan cuba yang terbaik untuk tidak bolos tetapi kita perlu menghasilkan lebih banyak peluang berbanding aksi lalu,” luah Cools lagi.

Malaysia kini berada di tangga ketiga kumpulan D di belakang Kyrgyzstan di tangga kedua yang menang 2-0 ke atas Taiwan manakala Oman kini di tangga teratas. Malaysia, Kyrgyzstan dan Oman mengumpul mata yang sama iaitu 6 mata keseluruhan.