Kapten pasukan Harimau Malaya, Dion Cools sedar Malaysia tiada jalan lain selain menewaskan Chinese Taipei untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2026.
Hasil jaringan Gulzhigit Alykulov buat Kyrgyzstan dan juga gol sendiri Odilzhon menyaksikan Malaysia terikat seri 1-1 menentang Kyrgyzstan.
Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga dengan mengumpul 7 mata manakala Kyrgyzstan di tangga kedua dengan 10 mata.
Dion Cools berpendapat Harimau Malaya beraksi cemerlang pada babak pertama namun gagal meneruskan momentum tersebut pada aksi separuh masa kedua.
Pemain pertahanan tersebut bagaimanapun tetap berpuas hati dengan keputusan seri yang diraih skuad Malaysia.
“Saya rasa kita beraksi bagus pada babak pertama tetapi untuk babak kedua sedikit kurang. Kita mahu menang perlawanan ini tetapi keputusan seri adalah wajar.
“Sudah jelas apa yang patut kita buat nanti, kita perlu menang dan jaringkan banyak gol menentang Chinese Taipei.
“Jadi kita perlu menukar mentaliti kita dengan cepat bagi perlawanan (Chinese Taipei) pada Selasa depan untuk meraih kemenangan.” ujar Dion Cools.
Malaysia akan menentang Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini manakala Kyrgyzstan akan melawan pasukan Oman untuk aksi terakhir kumpulan D.