Bek tengah Malaysia, Dion Cools memastikan Buriram United meraih kemenangan pertama dalam Thai League 1 musim ini dengan mengalahkan Lamphun Warriors 3-0.
Beraksi di gelanggang keramat mereka, Chang Arena, juara treble musim lepas tidak menunggu lama membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi Ramil Sheydayev.
Tuan rumah terus menggandakan kelebihan menerusi Goran Causic 10 minit selepas itu. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Thunder Castle memastikan kemenangan mereka dalam genggaman menerusi Leon James pada minit ke-91.
Selain mencatatkan kemenangan pertama, Buriram juga tidak bolos dalam dua perlawanan terima kasih kepada kerja keras bahagian pertahanan yang diketuai Cools.
Keputusan ini melonjakkan Thunder Castle ke tangga ketiga liga dengan empat mata selepas dua perlawanan. Selepas ini, mereka akan menentang Sukhotai di tempat lawan pada 26 Ogos ini.