Dion Cools Yakin Malaysia Semakin Konsisten Ke Piala Asia

Malaysia Dion Cools Dion Cools Yakin Malaysia Semakin Konsisten Ke Piala Asia
Azri
Hakim Johari @HakimJohari4
2:34pm 14/10/2023

Pemain pertahanan Malaysia, Dion Cools yakin pasukan Malaysia kini semakin konsisten dalam persediaan menghadapi Piala Asia tahun hadapan.

Prestasi semasa Malaysia yang berjaya mengikat pasukan Syria dan China tempoh hari serta menewaskan India dalam kejohanan Pestabola Merdeka turut membuka peluang untuk Malaysia memperbaiki ranking dunia.

Sewaktu ditanya tentang kemampuan Malaysia untuk berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, Dion Cools mengakui Malaysia berada dilandasan yang tepat.

“Dalam perlawanan lalu menentang China dan Syria, saya rasa kami berpeluang untuk menang dalam perlawanan tersebut. Ini bukan gurauan namun realiti.” ujar Dion Cools kepada wartawan Astro Arena.

“Kami berjaya menang ke atas India dan ia penting untuk meningkatkan prestasi kami untuk bulan November sehingga Januari kelak.” tambah beliau lagi.

Pertahanan berusia 27 tahun itu juga mengakui India mempunyai banyak peluang menyerang dan pasukan Malaysia harus memperbaiki beberapa aspek menjelang aksi bertemu Tajikistan.

“Kita mungkin tak berpuas hati dengan beberapa bahagian tapi kita berjaya mara ke final pada Selasa ini. Jadi, kita harap kita dapat bermain dengan lebih baik.” ujar beliau.

Pasukan Harimau Malaya kini bakal menentang Tajikistan untuk aksi akhir Pestabola Merdeka dan terus berpeluang untuk meningkatkan ranking pasukan jika berjaya menewaskan Tajikistan dalam perlawanan tersebut.