Aksi pusingan 16 pasukan terbaik Thai League Cup membabitkan Buriram United dan Uthai Thani semalam dilihat istimewa buat Dion Cools dan Zafuan Azeman.
Ini kerana perlawanan semalam menyaksikan pertembungan dua bintang Malaysia itu buat kali pertama di bumi Thailand.
Detik tersebut turut dikongsikan akaun X, Harimau Abroad menerusi satu hantaran yang dimuatnaik di platform media sosial itu semalam.
Buriram terlebih dahulu di hadapan menerusi Thanakrit Chotmuangpak pada minit ke-46. Pemain sayap Iraq, Jiloan Hamad menyamakan kedudukan pada minit ke-57.
Penyerang Brazil, Guilherme Bissoli kembali meletakkan Thunder Castle di hadapan pada minit ke-79. Charalampos Charalampous memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan menerusi gol pada minit ke-86.
Uthai Thani kemudiannya ditimpa malang apabila Charalampos diperintah keluar padang oleh pengadil pada minit ke-120.
Buriram kemudiannya berjaya mara ke suku akhir selepas menewaskan pelawat 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti.
Meskipun gagal layak ke suku akhir, Zafuan memukau penyokong Uthai Thani dengan menyempurnakan penalti gaya Panenka yang menewaskan penjaga gol Buriram, Siwarak Tedsungnoen.