Doa Ibu, Pemain Sanggup Korbankan Nyawa Demi Negara Rahsia Kejayaan Maghribi
Dunia
FIFA
Advertisements

Kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022, perlu diakui telah menjadikan Maghribi sebagai satu fenomena dan bualan penyokong bolasepak seluruh dunia, seluruh rakyat mereka berpesta dengan pencapaian menakjubkan ini.

Diundi bersama Belgium dan Croatia, siapa menduga Maghribi akan muncul juara kumpulan, seterusnya menyingkirkan dua lagi pasukan pilihan Sepanyol dan Portugal di dalam laluan mereka.

Andai menang ke atas Perancis, mereka boleh terus terbang di awangan tetapi jika kalah, The Atlas Lions tetap boleh pulang mendabik dada kerana telah memahat satu sejarah hebat untuk dikenang dan diceritakan kepada anak cucu.

Advertisements

Apa sebenarnya rahsia kejayaan wakil Afrika ini, ia dikaitkan dengan jiwa dan cinta yang cukup mendalam pemain-pemain Maghribi kepada negara mereka.

Pengendali Maghribi, Walid Regragui berkata, “Sebelum Piala Dunia bermula kami ada berdepan banyak masalah membabitkan pemain yang lahir di Maghribi dan lahir di Eropah. Ada wartawan bertanya kepada saya, kenapa tidak skuad ini hanya dibarisi oleh pemain yang lahir di Maghribi, pastinya mereka akan memberikan sepenuh jiwa.

“Tetapi pada hari ini, kami semua telah membuktikan, lahir di Maghribi atau Eropah, setiap orang Maghribi adalah berdarah Maghribi, jiwanya Maghribi. Apabila ia berkenaan negara dan skuad kebangsaan, mereka sanggup berjuang malah ada yang sanggup mengorbankan nyawa.”

Advertisements

Sebagai rekod, seramai 14 daripada 26 pemain dalam skuad Maghribi lahir di luar negara tersebut, sekaligus menjadi pasukan menghimpunkan pemain luar paling ramai di Piala Dunia Qatar.

Sebagai contoh, penjaga gol Younes Bounou lahir di Canada; Anass Zaroury di Belgium; Achraf Hakimi lahir di Madrid (Sepanyol), Sofyan Amrabat, Zakaria Aboukhlal, Hakim Ziyech dan Noussier Mazroui lahir di Belanda, manakala Sofiane Boufal dan Roman Saiss lahir di Perancis.

Pemain-pemain ini bukannya berdarah campuran, tetapi memang darah Maghribi tulen kerana kedua ibu bapa mereka adalah rakyat Maghribi yang merupakan pelarian atau berhijrah ke negara lain atas faktor ekonomi.

Advertisements

Untuk makluman, Maghribi sememangnya diketahui salah satu negara dengan kadar populasi migran tertinggi di Eropah.

Bagi mencari anak-anak Maghribi di negara Eropah seperti Belgium, Belanda, Perancis, Sepanyol dan sebagainya, Persekutuan Bolasepak Diraja Maghribi (RMFF) telah menubuhkan pasukan pengesan bakat yang mana akan bertindak pantas untuk berbincang dengan pemain dan keluarga mereka mengenai negara mana yang mahu diwakili supaya tiada berlaku pertindihan.

Begitulah yang berlaku dalam hal Hakim Ziyech, yang berbincang dengan RMFF dan jurulatih Belanda ketika itu Ronald Koeman sebelum memutuskan untuk menyarung jersi Maghribi.

Advertisements

Amrabat yang pernah bermain untuk skuad remaja Belanda, memilih untuk mewakili Maghribi di peringkat senior kerana alasan keluarga.

“Ibu bapa saya, datuk nenek saya adalah rakyat Maghribi. Doa mereka sentiasa bersama saya, setiap kali saya balik ke sana, saya tidak dapat menggambarkan perasaan di dalam diri saya melalui kata-kata. Ianya adalah rumah saya, Belanda juga adalah rumah saya, tetapi Maghribi adalah istimewa,” ujar Amrabat.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram