Dollah Salleh : “Saya Tak Pernah Anggap Diri Ada Magis, Semuanya Rezeki Tuhan Bagi”
Liga Super
Astro Arena
Advertisements

Tidak semua pemain yang hebat akan berjaya sebagai jurulatih, tetapi dalam hal Dato’ Dollah Salleh, dia bukan sahaja pemain yang hebat pada zamannya, tetapi turut berjaya menempa nama sebagai jurulatih yang berjaya dan tanpa ragu merupakan salah seorang jurulatih berprofil tinggi Liga Malaysia.

Antara pencapaian Dollah Salleh sebagai pemain adalah memenangi gelaran Liga Perdana dan Piala Malaysia pada 1992 bersama Pahang selain turut pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Beliau juga membantu pasukan negara muncul juara Pestabola Merdeka 1993 dan naib juara edisi sulung Piala Tiger pada 1996.

Advertisements

Setelah terjun ke bidang kejurulatihan pada 2003, beliau pantas mencipta nama apabila membawa MPPJ Selangor muncul kelab pertama menjulang Piala Malaysia dan setahun kemudian menjuarai pula Piala Sumbangsih serta Liga Perdana 2004.

Itulah permulaan dia mendapat gelaran jurulatih dengan sentuhan magis dan meneruskan sentuhan itu pada 2005 dengan membantu Red Giants mencipta sejarah menjulang tiga gelaran Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA.

Pada musim terakhirnya bersama pasukan itu pada 2008, beliau menambah lagi koleksi trofi apabila berjaya muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia.

Advertisements

Apakah resipi yang membuatkan sentuhannya menjadi, ini perkongsian daripada Dollah Salleh sendiri kepada sebuah majalah sukan tidak lama dahulu.

“Ketika bergelar pemain, saya menerima tunjuk ajar daripada ramai jurulatih-jurulatih berpengalaman, antara jurulatih yang banyak mempengaruhi gaya kejurulatihan saya adalah jurulatih Sukan SEA 1989, Trevor Hartley.

“Beliau seorang yang kelakar dan mudah mesra, menyebabkan kami mengelarnya Benny Hill. Semasa di bawah kendalian Hartley, saya tidak pernah berasa bosan untuk berlatih, sentiasa enjoy dan bergaduh sesama sendiri di atas padang.

Advertisements

“Kemudian cara inilah yang saya bawa di dalam pasukan kendalian saya, saya terapkan suasana kekeluargaan dalam latihan, pemain saya anggap sebagai kawan atau anak.  Apabila saya bina pasukan, saya perlukan pemain yang bermain untuk jurulatihnya, dalam hal saya, pemain yang bermain untuk Coach Dollah.

“Jadi bila sampai ke tahap mereka bermain untuk Coach Dollah, saya jadi lebih yakin dan bersemangat serta menghargai sumbangan mereka. Ini adalah kunci kepada kejayaan saya, dari mula saya membimbing MPPJ hingga ke pasukan kebangsaan dan kini di Pahang. Ada yang cakap saya mempunyai magis, bagi saya itu rezeki dan kelebihan yang Tuhan bagi,” ujar Dollah Salleh.

Selepas meninggalkan Selangor, Dollah Salleh membimbing Shahzan Muda untuk seketika dan dilamar Pahang pada 2009.

Advertisements

Beliau bersama pasukan itu selama lima musim dan membantu skuad tok gajah menoktahkan kemarau 21 tahun untuk menjulang Piala Malaysia pada 2013 dengan menewaskan Kelantan, sebelum dipancing oleh pasukan PDRM FA.

Pada 2014, Dollah Salleh membawa PDRM FA menjuarai Liga Perdana seterusnya dilamar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengalas tanggungjawab selaku jurulatih kebangsaan.

Beliau membimbing Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2014 namun reputasi gah sebagai jurulatih yang hebat sedikit tercalar dek kerana kekalahan 10-0 ke pada Emiriah Arab Bersatu menyaksikannya meletak jawatan.

Selepas itu beliau telah bersama Perlis selama semusim sebelum kembali membimbing Pahang pada 2017, membawa mereka muncul naib juara Piala FA dan seterusnya bergelar juara pada tahun 2018 dengan menewaskan Selangor.

Pada 2019, beliau membawa Pahang muncul naib juara Liga Super, mara ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia lantas dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Kebangsaan di Anugerah Bolasepak Kebangsaan tahun tersebut.

Untuk dua musim berturut-turut pada 2021 dan 2022, beliau bermula sebagai pengurus pasukan dan mengambil alih tugas ketua jurulatih selepas beberapa perlawanan, masing-masing menggantikan Thomas Dooley dan Christophe Gamel.

Tatkala tiada apa untuk dibanggakan pada musim 2021, jurulatih yang genap berusia 59 tahun pada 23 Oktober itu masih berpeluang untuk meraih sesuatu pada musim ini, dalam saingan Piala Malaysia.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram