Nama bek tengah Harimau Malaya, Dominic Tan menjadi sebutan penyokong Sabah FC dalam aksi terbaru Liga Super menentang Penang FC.
Ini selepas sepakan jarak jauhnya membantu Sang Badak meraih kemenangan 4-0 ke atas Sang Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya pada 25 Oktober lalu.
Menariknya, semua gol yang menerjah gawang Sikh Izhan Nazrel dijaringkan dari jarak jauh. Selain Dominic, Saddil Ramdani, Gabriel Peres dan Stuart Wilkin turut mencipta nama sebagai penjaring.
Namun begitu, gol Dominic yang menjadi bualan ramai penyokong. Tidak seperti Saddil, Peres dan Stuart yang dikenali dengan gol jarak jauh mereka, bekas bek tengah Police Tero itu jauh berbeza.
Ini kerana Dominic lebih gemar menjaringkan gol menerusi tandukan baik bersama Sabah mahupun Harimau Malaya. Ini gol kedua bek tengah berusia 27 tahun itu dalam Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Kejayaan ini memastikan Sabah merampas kedudukan ketiga liga daripada Terengganu FC dengan 20 mata. Walau bagaimanapun, situasi ini boleh berubah sekiranya Peteh menewaskan Perak FC di Stadium Manjung.
Sementara bagi Penang pula, kekalahan ini menyaksikan mereka kini mengalami kemarau kemenangan dalam enam perlawanan, Ini juga kekalahan ketiga berturut-turut pasukan itu dalam Liga Super.
Sekiranya situasi ini berterusan, ini akan menyukarkan Sang Harimau Kumbang untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan terbaik liga. Ini juga merupakan sasaran yang ditetapkan pengurusan Penang pada awal musim.
Selepas ini, Sabah berhadapan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 29 Oktober. Manakala Penang pula bertandang ke Gong Badak untuk menentang Terengganu pada 1 November.