Pertembungan dua ‘Anwar Ibrahim’ mencuri tumpuan para penyokong tatkala kedua-dua individu ini dijangka bertembung di Stadium Cheras hujung minggu ini.
Aksi yang melibatkan KL City dan juga Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 11 Mac ini.
Namun begitu, ia seakan tidak mendapat keizinan apabila terdapat satu lagi acara akan berlangsung di sana.
Majlis Selawat dan Munajat Perdana bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim juga akan diadakan di tempat yang sama bermula jam 7 petang hingga 11 malam.
Aksi anak buah Bojan Hodak juga berlangsung pada hari yang sama bermula jam 8:15 malam sekaligus bakal memperlihatkan aksi salah seorang pemain The City Boys, Anwar Ibrahim di sana.
Walau bagaimanapun, menerusi penjelasan oleh ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan selepas perlawanan semalam, beliau tidak menolak kemungkinan aksi tersebut diadakan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.
Kedua-dua pasukan sudah tentu tidak mahu melepaskan mata lagi selepas mengharungi permulaan musim yang agak perlahan musim ini.