Advertisements
Dua Bekas Penyerang Liga Malaysia Kekal Berbisa Di Asean
Asia Tenggara
MakanBola
Persib Bandung/Chonburi

Meskipun tidak lagi beraksi di Liga Malaysia (Liga M), nama David da Silva dan Willian Lira masih diingati ramai peminat bola sepak negara.

Ini kerana dua penyerang Brazil itu menyerlah bersama kelab masing-masing di Liga 1 Indonesia dan Thai League 1.

Da Silva yang kini beraksi untuk Persib Bandung menjadi penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia musim ini dengan 19 gol.

Sementara Lira pula berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Thai League 1 dengan 13 gol. Beliau berkongsi kedudukan itu dengan Willian Mota (Bangkok United) dan penyerang Korea Selatan, Jeong Woo-geun.

Ini sama sekali berbeza dengan rekod gol yang dijaringkan mereka semasa beraksi di Liga M. Da Silva menyumbat tujuh gol dalam 15 perlawanan untuk Terengganu FC untuk musim 2021.

Sementara Lira pula menyumbat lapan gol dalam 14 perlawanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim lepas sebelum berhijrah ke Thailand.

Statistik ini dikongsikan oleh Pengarah Sukan Terengganu FC, Zul Fadli Rozi atau Joe Rozi di X hari ini.

Dengan musim 2023-2024 berbaki beberapa bulan saja lagi, tidak mustahil da Silva dan Lira bukan saja mampu meraih gelaran Kasut Emas bersama Persib dan Chonburi.

Malah, mereka juga berpotensi melakar pencapaian cemerlang di kelab masing-masing. Bisa Lira pasti ditagih The Sharks untuk kekal dalam liga musim hadapan.

Manakala Pangeran Biru pula berharap bisa da Silva membantu pasukan kekal di kedudukan kedua dalam Liga 1 Indonesia.