Dua Finalis Shopee Cup ‘Tunggu’ Selangor
MakanBola
Selangor FC

Naib juara Liga Super, Selangor FC bakal berdepan cabaran dari dua finalis Shopee Cup musim lalu.

Saingan Shopee Cup musim 2025-2026 bakal membuka tirai pada Ogos hadapan dengan melibatkan 12 kelab terbaik dari negara-negara di rantau Asia Tenggara bagi merebut gelaran juara.

Seperti musim lalu, Malaysia turut diwakili oleh dua pasukan dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan naib juara, Selangor bakal tampil untuk julung kali di Shopee Cup ini.

Sesi undian peringkat kumpulan pada Jumaat menyaksikan Selangor berada di kumpulan A bersama dua finalis musim lalu, Buriram United sebagai juara dan CAHN yang bergelar naib juara.

Selain itu, sebuah lagi pasukan gergasi Thailand, BG Pathum United yang dibarisi pemain hebat antaranya Sarach Yooyen, Chanatip Songkrasin dan Ekanit Panya turut berada di dalam kumpulan sama.

Tampines Rovers dari Singapura dan pemenang aksi play-off antara DH Cebu dan Kasuka akan melengkapkan kumpulan A ini dengan kesemua 6 kelab merebut dua tempat ke separuh akhir.

Sementara satu lagi kelab Malaysia iaitu JDT berada di dalam kumpulan B bersama Bangkok United, Nam Dinh, Lion City Sailors, Svay Rieng dan satu lagi pemenang aksi play-off.

Saingan Shopee Cup 2025-2026 dijadualkan membuka tirai pada 8 Ogos hadapan dengan perlawanan play-off sebelum aksi peringkat kumpulan memulakan kempen selepas itu.

Musim lalu, Buriram United muncul selaku juara Shopee Cup selepas menumpaskan CAHN dalam aksi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-2 setelah terikat agregat 5-5.