Selepas mengumumkan kedatangan ketua jurulatih baharu, Aidil Shahrin Sahak, pasukan Kuching City bakal diperkuat dua tonggak berprofil tinggi, Petrus Shitembi dan Nuriddin Davronov.
Dalam satu temu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam bersama pengerusi kelab Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman, Fazzrudin menjelaskan pasukannya sempat mendaftarkan dua awang import sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup.
“Dua pemain baru yang telah kita tandatangani iaitu Petrus Shitembi dan Nuriddin Davronov dari Tajikistan. Itu dua pemain yang kita tambah sebelum tamat jendela perpindahan.”
Kontrak Petrus Shitembi bersama pasukan Terengganu telah tamat dan penghijrahan pemain tengah Namibia ini dilihat sebagai medan terbaik buat beliau kembali peroleh minit permainan.
Posisi tengah Kuching City juga dijangka akan lebih mantap dengan kehadiran pemain tengah Tajikistan, Nuriddin Davronov yang berpindah daripada pasukan Real Kashmir.
Benteng akhir Kuching City juga akan diperkuat penjaga gol berpengalaman, Wan Azraie Wan Teh bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan menjelang saingan Piala Malaysia.
Untuk makluman, tempoh pendaftaran pemain bagi tahun 2023 bagi jendela kedua telah pun bermula sejak 5 Julai lalu dan ditutup pada semalam, 1 Ogos 2023.
Kuching City bakal berdepan Sabah pada Sabtu, 5 Ogos 2023 untuk perlawanan pusingan 16 terbaik saingan Piala Malaysia 2023. Aksi tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Negeri, Kuching Sarawak.