Skuad futsal Malaysia bakal menjadikan Korea Selatan dan Kuwait sebagai lawan pemanas badan menjelang saingan Piala Asia Futsal 2026.
Dua aksi persahabatan ini disahkan kapten skuad kebangsaan, Khairul Effendy Mohd Bahrin.
Khairul Effendy yang mesra disapa Ayon melihat dua aksi persahabatan ini sebagai peluang memperkukuh tahap kecergasan para pemain sebelum kejohanan bermula.
“Kita memang memerlukan kecergasan permainan. Dengan adanya kecergasan permainan, kita boleh tahu kedudukan kita.
“Dua aksi itu juga peluang kita perbaiki apa yang kurang betul-betul sebelum kejohanan AFC (Piala Asia Futsal) nanti,” katanya kepada Nadi Arena.
Korea Selatan dan Kuwait menjadi pilihan bukan saja dari segi ranking FIFA. Malah, saiz fizikal mereka turut membantu anak buah Addie Azwan Zainal bersedia dari fizikal.
Ini kerana semua lawan Malaysia dalam Kumpulan D iaitu Iran, Afghanistan dan Arab Saudi memiliki pemain yang bertubuh tegap dan besar.
Selain Korea Selatan dan Kuwait, skuad negara juga akan menentang sebuah kelab Indonesia untuk aksi persahabatan sebelum kejohanan bermula.
Malaysia akan membuka kempen Piala Asia Futsal dengan menentang Iran pada 28 Januari ini.