Advertising
Dua Pemain Pahang Rangers Sepi Tanpa Khabar Berita
UltraSukan
UltraSukan
Pahang Rangers

Pahang Rangers kini di dalam dilema susulan ‘kehilangan’ dua tonggak penting mereka menjelang saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2024.

Menurut laporan Harian Metro, dua tonggak utama Pahang Rangers iaitu Muhamad Ridzwan Bakri dan Mahadir Harahap Khairuddin masih tidak kembali ke sesi latihan bersama rakan sepasukan yang lain.

Tambahan pula, usaha untuk menghubungi kedua-dua pemain itu bagi mengetahui status sebenar mereka juga menemui jalan buntu.

Ad

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang membabitkan dua pemain Pahang Rangers ini bakal berhijrah ke pasukan baharu meskipun kedua-duanya masih mempunyai kontrak bersama jaguh Pantai Timur itu.

Ridzwan Bakri merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena futsal negara memandangkan beliau amat dikenali sebagai penyerang yang memiliki penyudah yang tajam sehingga dianugerahkan penjaring terbaik MPFL 2022.

Ad
Ad

Manakala Mahadir Harahap menampilkan aksi cemerlangnya musim lalu sekaligus membuka mata kem kejurulatihan negara untuk memanggilnya menyertai skuad kebangsaan.

Ketiadaan mereka sudah semestinya menyukarkan pelan ketua jurulatih, Gerard Casas bagi merangka strategik terbaik bagi menghadapi MPFL yang dijangka berlangsung akhir Januari atau awal Februari.

Pahang Rangers kini dalam persiapan menghadapi saingan musim 2024 memandangkan mereka telah meraih gelaran juara berganda musim lalu dengan menjadi johan MPFL 2023 dan Piala Futsal Malaysia 2023.