Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski membuat dua permintaan besar menjelang aksi kedua kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, jurulatih asal Australia itu ingin melihat puluhan ribu penyokong datang untuk membanjiri stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan.
Ketika ditanya wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam samaada Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Sultan Ibrahim sebagai pilihan, Peter Cklamovski menganggap perkara yang utama adalah keadaan padang yang baik.
“Saya mahukan keduanya, kualiti padang dan stadium yang penuh.”
Selepas mencatat kemenangan pada aksi pertama sebagai pengendali Harimau Malaya, jurulatih berusia 46 tahun itu gembira dengan semangat dan komitmen yang diberikan para pemain.
Di kem latihan, beliau akui pemain mula membiasakan diri dengan corak serta intensiti yang diterapkan dari segi fizikal mahupun mental.
“Saya gembira dengan kem kebangsaan ketika ini. Semua pemain memberikan usaha seratus peratus. Fokus, konsentrasi untuk perbaiki diri hari demi hari. Saya berbangga dengan komitmen yang diberikan pemain-pemain Harimau Malaya.”
Malaysia bakal berdepan Vietnam pada 10 Jun. Dua pasukan ini kini menduduki tangga teratas dalam saingan Kumpulan F bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027.