Menjelang aksi Kelayakan Piala Asia Bawah 23 (U-23) 2024 yang bakal diadakan di Thailand, Malaysia dijangka bakal mempertaruhkan gandingan serangan yang pernah bergandingan ketika Piala Asia Bawah 16 Tahun pada tahun 2018 yang lalu.
Gandingan tersebut merupakan Luqman Hakim Shamsudin dan pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Najdmudin Akmal. Kedua-dua pemain ini merupakan gandingan serangan yang digunakan Datuk Lim Teong Kim yang menjadi jurulatih skuad bawah 16 tahun negara ketika itu.
Pada ketika itu, Luqman telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bersama dua lagi pemain lain iaitu Noah Botic dari Australia dan Shoji Toyama dari Jepun.
Namun situasi pada ketika ini sedikit berbeza buat Najmudin Akmal kerana beliau lebih kerap digunakan sebagai pemain sayap berbanding penyerang utama manakala Luqman pula masih digunakan sebagai penyerang bersama kelabnya di Iceland.
Sudah pasti pengendali skuad negara, E. Elavarasan mempunyai taktikal tersendiri yang sesuai bagi memanfaatkan kebolehan kedua-dua pemain ini.
Skuad bawah 23 negara bakal memulakan aksi pertama menentang Bangladesh pada Rabu, 6 September, Filipina pada Sabtu, 9 September dan tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September. Ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.