Edgar Baldasso: Saya Harap Syahir Iqbal Khan Akan Kekal Di Selangor 20 Tahun Lagi
UltraSukan
Selangor FC Futsal

Pengendali skuad futsal Selangor FC, Edgar Baldasso berharap pemain berbakat, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan dapat terus kekal bersama pasukan itu.

Pemain muda ini mula menarik perhatian ramai selepas mempamerkan prestasi bertenaga untuk Selangor dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2023.

Atas sebab itu, tidak hairanlah bakat Syahir Iqbal Khan diintai oleh beberapa pasukan. Bagaimanapun, Baldasso merasakan Selangor sebagai tempat terbaik untuk bakatnya terus berkembang.

Pengendali berdarah Brazil itu juga percaya dengan bakat yang dimilikinya, Syahir Iqbal Khan mampu menjadi tonggak utama Merah Kuning untuk tahun-tahun mendatang.

“Kenapa saya berada di sini? Kerana saya mempunyai sasaran saya. Dan Syahir (Iqbal Khan) juga memiliki sasarannya sendiri. Beliau percaya dengan projek ini, beliau percaya dengan perkongsian ini.

“Syahir ialah seorang lelaki muda, masih lagi berusia 18 tahun dan memiliki minda yang baik. Beliau mampu mengetuai Selangor pada masa hadapan.

“Saya harap beliau dapat kekal di Selangor untuk 20 tahun lagi. Tapi yang paling penting, beliau seorang yang bagus dan memiliki minda yang baik untuk memahami setiap detik yang bersesuaian,” katanya dalam sidang media pelancaran jersi Selangor FC Futsal untuk MPFL musim 2024.

Sementara itu, Baldasso menyifatkan pasukannya memiliki potensi untuk beraksi cemerlang dalam MPFL musim ini. Bagaimanapun, mereka perlu tampil konsisten memandangkan ada tujuh lagi pasukan yang mampu memberi cabaran.

“Kami percaya pasukan ini memiliki potensi tetapi ada tujuh lagi pasukan dalam MPFL. Kita juga perlu fikir tentang lawan (pertama esok,) Sabah FA.

“(Kompleks Sukan Negara Panasonic) merupakan lokasi penting, itu gelanggang rumah kami. Saya suka (kita) beraksi di tempat sendiri (esok),” ujarnya.

Komen Baldasso turut dipersetujui Pengurus Besar pasukan, Mimi Afzan Afza Abdul Karim. Beliau percaya Selangor mampu menyerlah dengan syarat menunjukkan mentaliti yang betul untuk berjaya.

“Kalau ikut piawaian, semua pasukan sama. Pemain import ada yang memiliki tempoh pengalaman berbeza tetapi perlu diingat bahawa futsal ialah permainan berpasukan dan bukan permainan individu.

“Ini soal bagaimana kamu boleh membentuk keserasian (antara pemain) itu yang penting. Mentaliti paling penting, apa yang kamu mahukan itu penting,” katanya.

Selangor bakal membuka tirai MPFL musim 2024 dengan turun menentang Sabah FA pada 18 Februari ini.