Pemain tengah Thailand, Ekanit Panya bakal memperkuat cabaran Muangthong United dalam pusingan kedua Thai League 1 musim 2024/25.
Ini disebabkan tempoh pinjaman pemain tengah berusia 25 tahun itu dengan kelab J1 League, Urawa Reds bakal berakhir pada penghujung tahun ini.
Pengumuman ini dibuat oleh pengurusan The Kirins menerusi satu kenyataan ringkas di platform media sosial rasmi mereka. Ekanit merekodkan 22 penampilan bersama bekas juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 itu.
“Ekanit Panya, penyerang pasukan kebangsaan Thailand, kembali beraksi di Stadium Thunderdome sekali lagi selepas menamatkan kontrak pinjamannya dengan Urawa Red Diamonds.
“Pemain tengah dari Chiang Rai berpindah dari Muangthong United untuk bermain di J1 League sejak Julai 2023 selama lebih 16 bulan menyertai Urawa Reds. Beliau beraksi dalam 22 perlawanan, menjaringkan satu gol dan mencipta dua bantuan gol.
“Selepas 22 perlawanan bersama Urawa Reds, pemain tengah menyerang pasukan kebangsaan Thailand, Ekanit Panya kembali menyertai The Kirins dalam pusingan kedua (Thai League 1),” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran Ekanit dijangka memberi lebih banyak pilihan kepada pengendali Itali, Gino Lettieri di bahagian tengah Muangthong menjelang pusingan kedua Thai League 1.
Bekas pemain tengah Chiangrai United itu dijangka mengalihkan fokus untuk kempen Thailand dalam saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024. Ini kerana beliau dilihat antara tonggak utama pilihan jurulatih Thailand, Masatada Ishii.
Thailand bakal membuka kempen Kumpulan A PMEA 2024 dengan menentang Timor Leste pada 8 Disember ini.