Hasrat peminat bola sepak Selangor FC melihat aksi pemain timnas Indonesia, Eliano Reijnders di depan mata tidak kesampaian apabila proses untuk membawa pemain itu ke Selangor tidak lagi diteruskan.
Pemain berusia 24 tahun itu kini beraksi buat kelab Belanda, PEC Zwolle di Eridivisie selama hampir dua musim setelah berpindah daripada Utrecht B-21.
Melalui satu perkongsian wartawan The Star, T. Avineshwaran, Reijnders tidak akan ke Selangor selepas pemain itu diminta untuk kekal beraksi di kancah bola sepak eropah.
Biarpun ada beberapa rundingan yang dijalankan pihak kelab bersama Reijnders, namun wakil Eliano mahu dia kekal di Eropah.
“Beberapa pusingan rundingan telah diadakan oleh kelab, tetapi wakil Eliano mahu dia kekal di Eropah. Jadi perpindahan itu tidak berlaku,” kongsi T. Avineshwaran di laman X.
Sebelum ini, Makanbola melaporkan bahawa Selangor sudah memulakan usaha bagi membawa masuk Reijnders bagi saingan Liga Super musim 2025/2026. Namun dengan perkongsian terbaru ini, kelibat Reijnders hampir pasti tidak akan dapat disaksikan dalam kancah bola sepak tempatan.