Ketua pegawai eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Reeve Musk FRS (Elon Musk) berkata pada hari Selasa baru-baru ini bahawa beliau akan membeli saham kelab bola sepak Manchester United Plc.
Elon Musk, orang terkaya di dunia dengan nilai kekayaan sebanyak $219 bilion, mempunyai sejarah menggunakan Twitter dalam keadaan kurang sopan.
“Saya membeli Manchester United, sama-sama,” jelas Musk di Twitternya.
Tekanan diterima pemilik semasa Manchester United, keluarga Glazer dari Amerika Syarikat membuka peluang untuk mana-mana pelabur baru mendapatkan majoriti saham antara kelab paling berjaya di England ini.
Menerusi tinjauan yang dilakukan di Twitter, kebanyakan pengikutnya menyambut baik hasrat Musk dan berkata ianya lebih baik berbanding membeli Twitter itu sendiri.
Berdasarkan ciapan terbarunya itu, beliau seolah-olah sedang dalam proses pembincangan untuk mendapatkan hak milik majoriti Manchester United namun tiada sebarang pengesahan dari pihak lain dapat dikesan buat masa ini.