Tindakan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengeluarkan pemain tengah naturalisasi Malaysia, Endrick Dos Santos dalam aksi menentang Kedah semalam sememangnya menimbulkan tanda tanya di kalangan penyokong JDT.
Sudah tentu apa yang dilakukan Solari adalah untuk kebaikan pasukan kendaliannya. Pada aksi semalam, Endrick dikeluarkan sebelum separuh masa kedua bermula dan Afiq Fazail dibawa masuk bagi menggantikan pemain kelahiran Brazil itu. Solari menegaskan kecederaan bukanlah punca utama tetapi prestasinya semalam kurang baik.
“Beliau (Endrick) adalah pemain yang banyak membantu pasukan apabila berada di dalam ‘mood’ yang baik. Hari ini, saya lihat beliau sedikit keliru dan tidak membuat keputusan dengan baik. Ini adalah perkara yang selalu berlaku untuk seorang pemain bola sepak.
“Adakalanya mereka beraksi dengan baik, dan adakalanya mereka beraksi dengan kurang baik. Jadi saya rasa pasukan (JDT) ketika itu perlukan seorang yang mampu menyambungkan di antara posisi tengah ke pertahanan dan serangan.
“Saya mengambil keputusan itu (gantikan Endrick dengan Afiq Fazail). Beliau (Endrick) sedar tidak beraksi baik tetapi kami tetap perlukannya pada masa akan datang. Itu hanyalah perubahan taktikal,” jelas Solari dalam satu sesi sidang media selepas perlawanan.
Dengan kemenangan bergaya semalam, JDT kini semakin menjarakkan mata dalam carta Liga Super denghan mengumpul 24 mata selepas 8 kemenangan dari 8 perlawanan yang dilalui. Mengekori JDT adalah Selangor FC di tangga kedua dengan 19 mata, dipisahkan 5 mata dengan JDT.