Pemain tengah kebangsaan, Endrick dos Santos mula mempamerkan bisa bersama kelab barunya, Ho Chi Minh City FC (HCMC FC).
Ini selepas beliau membantu pasukan itu meraih kemenangan 2-1 ke atas Binh Dinh dalam aksi persahabatan pra-musim yang berlangsung pada Isnin.
Endrick menyertai The Red Battleship secara pinjaman semusim dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) bagi mendapatkan minit permainan yang lebih kerap. Perpindahan ini juga menjadikan beliau pemain Malaysia pertama beraksi di Vietnam.
Bekas pemain tengah Penang FC itu meletakkan tuan rumah di hadapan pada separuh masa pertama. Endrick kemudiannya menambah satu lagi gol bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Meskipun Binh Dinh berjaya merapatkan jurang dengan satu jaringan, itu sudah terlambat buat pelawat menghalang kemenangan HCMC.
The Red Battleship bakal membuka kempen V. League 1 musim 2024/25 dengan menentang Viettel pada 15 September ini.
Dua gol tersebut juga bakal membakar semangat Endrick untuk memberi persembahan terbaik bersama Harimau Malaya.
Ini selepas namanya tersenarai dalam barisan 26 pemain yang dipanggil Pau Marti Vicente untuk kempen Pestabola Merdeka 2024.