Pemain tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos mula mempamerkan sengatnya di Vietnam apabila membantu Ho Chi Minh City (HCMC) meraih kemenangan pertama dalam V. League 1.
HCMC meraih tiga mata penuh dengan menewaskan naib juara liga musim 2023/24, Binh Dinh di Stadium Quy Nhon.
Selepas diikat tanpa jaringan oleh Viettel pada 14 September lalu, The Red Battleship berazam meraih kemenangan pertama dalam liga.
Walau bagaimanapun, pasukan itu ketinggalan pada minit ke-48 apabila Vu Minh Tuan menjaringkan gol pendahuluan buat Binh Dinh.
Gol tersebut seakan memberi harapan kepada anak buah Bui Đoan Quang Huy untuk merekodkan kemenangan pertama ke atas HCMC sejak 2022.
Harapan tersebut punah apabila Endrick menyumbat gol penyamaan buat pasukan pelawat pada minit ke-54. Ini juga gol pertama pemain berusia 29 tahun itu dalam saingan V. League 1.
The Red Battleship melengkapkan kebangkitan mereka dengan gol kemenangan yang dijaringkan Dao Quoc Gia pada minit ke-79.
Kemenangan ini memastikan HCMC menduduki tempat ketiga liga dengan empat mata selepas melalui dua perlawanan. Kemenangan ini turut menyaksikan The Red Battleship kekal tanpa kalah kepada Binh Dinh dalam empat perlawanan.
Bisa Endrick dijangka ditagih HCMC untuk aksi liga seterusnya menentang Hanoi FC pada 29 September ini.