England meneruskan rentak kemenangan di bawah bimbingan Thomas Tuchel apabila menewaskan Latvia 3-0.
Selepas menewaskan Albania 2-0, The Three Lions berharap dapat meneruskan rentak cemerlang dalam Kumpulan K. Misi sama turut menjadi fokus Latvia selepas menewaskan Andorra 1-0.
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane mengetuai jentera serangan England. Peledak Daejeon Hana Citizen, Vladislavs Gutkovskis mengetuai jentera serangan Latvia.
Separuh masa pertama menyaksikan The Three Lions berusaha mencari gol awal menerusi Kane, Marcus Rashford, Morgan Rogers dan Jarrod Bowen.
Gutkovskis hampir meletakkan Latvia di hadapan pada minit ke-18 selepas berjaya melepasi Marc Guehi dan Jordan Pickford. Malangnya, percubaan beliau hanya mengenai bahagian tepi gawang.
Empat minit kemudian, giliran pertahanan Aston Villa, Ezra Konsa pula hampa. Bek tengah England itu hampir menyumbat gol pendahuluan tetapi dinafikan Krisjanis Zviedris.
The Three Lions akhirnya mendahului pada minit ke-36 menerusi Reece James. Sepakan percuma persis David Beckham itu menceriakan penyokong England di Stadium Wembley.
England berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, pengendali Latvia dari Itali, Paulo Nicolato memasukkan bek tengah Visakha, Vitalijs Jagodinskis untuk melindungi pertahanan pasukan itu.
Perubahan itu memaksa England terpaksa menunggu sehingga minit ke-68 menerusi Kane. Kane menyempurnakan hantaran Jude Bellingham untuk gol ke-71 beliau bersama The Three Lions.
Pemain sayap Crystal Palace, Eberichi Eze meraih gol pertamanya bersama England menerusi percubaan pada minit ke-76.
The Three Lions terus memberi tekanan kepada Latvia tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan England mengetuai Kumpulan K dengan enam mata.
Sofascore memilih James sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4. Beliau di hadapan Kane dan Rogers yang berkongsi markah 8.0.
Selepas ini, England akan menentang Andorra pada 8 Jun. Latvia pula akan menentang Albania pada 11 Jun.