England Cemerlang Tewaskan Bosnia-Herzegovina
MakanBola
England National Team

England tidak berdepan masalah menewaskan pasukan dari rantau Balkan, Bosnia-Herzegovina dalam satu aksi persahabatan yang berlangsung pada awal pagi tadi.

Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada dua aksi pemanas badan anak buah Gareth Southgate sebelum Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2024 bermula.

Perlawanan ini turut digunakan Southgate untuk bereksperimen dari segi taktikal dan pemilihan pemain. Antara pemain yang diturunkan ialah Ollie Watkins, Cole Palmer, Marc Guehi dan Lewis Dunk.

Ad

Babak pertama menyaksikan The Three Lions memanfaatkan kelebihan beraksi di St. James Park untuk mendapatkan kelebihan gol awal.

Barisan serangan England terdiri daripada Watkins, Palmer, Jarrod Bowen dan Eberichi Eze berusaha menembusi pertahanan Bosnia tetapi tidak berhasil.

Ad
Ad

Ini kerana pasukan yang diberi jolokan The Dragons itu menggunakan kelebihan fizikal dan formasi 5-4-1 untuk menyekat jentera serangan England.

Ad

Percubaan terbaik England hadir menerusi Bowen pada minit ke-45 tetapi percubaannya dinafikan penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, The Three Lions meningkatkan tekanan ke atas kubu pertahanan pelawat.

Gol yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-59 apabila pegawai sistem bantuan video pengadil (VAR) mengesan Benjamin Tahirovic menarik Ezra Konsa dalam kotak penalti.

Penalti tersebut mudah disempurnakan Palmer menewaskan Vasilj untuk meletakkan England di hadapan. Ini gol pertama penjaring terbanyak Chelsea itu di pentas antarabangsa bersama The Three Lions.

Southgate kemudiannya membuat beberapa pertukaran pemain dengan memasukkan Harry Kane, James Maddison, Jarrod Braithwaite dan Adam Wharton.

Gol kedua yang dicari The Three Lions akhirnya muncul pada minit ke-85 menerusi bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold.

Kane melengkapkan kemenangan England dengan meledakkan gol ke-63 di pentas antarabangsa pada minit ke-89. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Alexander-Arnold yang beraksi di bahagian tengah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 8.5, 0.5 mata di hadapan Konsa.

Selepas ini, England akan mengharungi satu lagi perlawanan pemanas badan menentang Iceland pada 8 Jun.