Pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang, Petaling Jaya City (PJ City) Fc difahamkan akan membuat kemunculan semula dalam saingan Liga Super 2023.
Kelab dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa mereka tidak akan mengambil bahagian untuk bersaing di Liga Super musim hadapan untuk memberi fokus kepada pembangunan bola sepak belia.
Mereka juga secara terbuka berminat untuk menawarkan kepada sesiapa yang mahu mengambil alih kelab untuk terus bersaing di Liga Super.
Walau bagaimanapun, menerusi satu kenyataan oleh wartawan, T. Avineshwaran, PJ City akan membuat kemunculan semula setelah ada pihak yang bersetuju untuk mengambil alih kelab.
Nama jurulatih berpengalaman Malaysia, B. Sathianathan disebut-sebut akan mengendalikan pasukan ini sekaligus bakal merancakkan lagi pasukan.
Jurulatih berusia 64 tahun itu kali terakhir membimbing Sarawak United sebelum
berundur diri akibat masalah kesihatan.
Sementara itu, menurut satu sumber, usaha ke arah penggantian PJ City ini menuju kemuncak proses dan dijangka menunggu pengumuman rasmi.
“Setakat ini belum ada kenyataan rasmi dan kertas kerja masih belum sempurna namun pemilihan pemain sudah pun dilakukan beberapa minggu lalu.
“Mereka sudah memaklumkan pengelola liga namun belum ada pergerakan rasmi dibuat, mungkin mereka sedang mencari penaja ataupun ‘due diligence’ sedang dibuat. Saya tidak pasti,” jelas sumber kami yang tidak mahu namanya dipaparkan.