Manchester United sekali lagi menerima kekalahan pahit dalam saingan liga setelah dimalukan oleh Brentford dengan jaringan 4-3 di Stadium Komuniti Gtech.
Brentford yang dikendalikan oleh Thomas Frank turun dengan motivasi tinggi apabila tidak tewas dalam 4 perlawanan terakhir liga dan baru-baru ini mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest.
Ruben Amorim pula tampil mencuba kelainan apabila menurunkan muka-muka baharu bagi perlawanan ini seolah-olah memberi petanda United bakal memfokuskan saingan Piala Europa berbanding aksi liga.
Harry Amass, Tyler Fredricson, Chido Obi Martins diturunkan dalam kesebelasan utama manakala Bayindir menjadi penjaga gol utama pasukan.
Mason Mount meledak gol pertama buat United seawal minit ke-14 setelah menyempurnakan bola hantaran Alejandro Garnacho.
Brentford kemudian meraih gol penyamaan setelah Luke Shaw menjaringkan gol sendiri pada minit ke-27 perlawanan.
Kevin Schade meletakkan Brentford dihadapan untuk aksi separuh masa pertama apabila berjaya menewaskan Bayindir pada minit ke-33 permainan.
Memasuki babak kedua, Kevin Schade sekali lagi menambah duka buat penyokong United apabila meledak gol ketiga Brentford pada minit ke-70.
Yoane Wissa pantas menambah gol keempat Brentford selang 4 minit kemudian sekali gus menambah tekanan buat United.
Garnacho menjaringkan gol kedua United pada minit ke-82 setelah berjaya menyempurnakan bola hantaran Christian Eriksen.
Amad Diallo muncul sekalu penjaring gol ketiga apabila meledak gol pada masa tambahan namun United tetap gagal mengikat Brentford.
Brentford berjaya menewaskan Manchester United dengan jaringan 4-3 untuk meraih tiga mata berharga dalam saingan liga.
Brentford kini berada di tangga ke-9 liga dengan mengumpul 52 mata manakala United berada di tangga ke-15 liga dengan meraih 39 mata.