Advertisement
EPL: Arsenal Diaibkan Aston Villa
EPL
MakanBola
Premier League

Arsenal terlepas peluang kembali ke persada Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tewas mengejut 1-0 kepada Aston Villa di Villa Park hari ini.

Dengan Liverpool berjaya mengatasi Crystal Palace di Selhurst Park, anak-anak buah Mikel Arteta perlu menang hari ini bagi merampas kembali kedudukan pendahulu liga.

Bagaimanapun, The Villains bakal memberi cabaran getir kepada pelawat. Ini kerana Villa telah merekodkan 14 kemenangan berturut-turut di Villa Park.

Dan rekod itu bakal dikekalkan apabila kapten, John McGinn meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ketujuh selepas menerima umpanan Leon Bailey.

Tersentak, Arsenal mengasak bagi mendapatkan gol penyamaan. Begitupun, barisan pertahanan The Villains diketuai Diego Carlos memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Arteta memasukkan Leandro Trossard, Eddie Nketiah dan Reiss Nelson dengan harapan dapat memburu gol penyamaan.

Malangnya, barisan pertahanan tuan rumah terus kental menyerap asakan The Gunners. Itu sudah cukup memastikan kemenangan 1-0 Villa sebaik wisel penamat ditiup.

Keputusan ini meletakkan The Villains kini satu mata di belakang Arsenal dan dua mata di belakang Liverpool.

Penjaga gol Villa, Emiliano Martinez dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore kerana cemerlang menepis setiap percubaan The Gunners.

Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali mengharungi saingan di peringkat Eropah. Arsenal bakal berdepan PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 13 Disember.

Sementara Villa pula bakal bertandang ke Bosnia-Herzegovina untuk turun menentang HNK Zrinjski Mostar pada 15 Disember.