EPL: Chelsea Kecundang Di Tangan Newcastle United
MakanBola
Chelsea FC
Sponsors

Chelsea terlepas peluang memintas Manchester City apabila tewas kepada Newcastle United di St. James Park.

Chelsea dan Newcastle masing-masing memburu kemenangan untuk merapatkan jurang dengan City di tangga ketiga liga. Kedua-dua pasukan turut dibantu dengan The Citizens diikat Southampton 0-0.

Ad
Sponsors

The Blues mengekalkan kesebelasan sama yang menewaskan Liverpool pada minggu lalu. The Magpies memanggil Sven Botman dan Anthony Gordon dalam kesebelasan utama.

Penyokong Newcastle ceria apabila Sandro Tonali meletakkan pasukan itu di hadapan seawal minit kedua. Tonali mudah menyempurnakan hantaran Jacob Murphy yang menewaskan Robert Sanchez.

Ad

Tersentak, Chelsea cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan. Cole Palmer hampir menyumbat gol penyamaan pada minit ke-21 tetapi percubaannya disekat Bruno Guimaraes.

Ad

The Blues bernasib malang apabila Nicolas Jackson diarah keluar padang pada minit ke-34. Pada awalnya, penyerang Senegal itu hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil, John Brooks.

Ad

Walau bagaimanapun, Brooks membatalkan keputusan awalnya selepas melihat semula insiden itu di monitor. Ini bermakna Jackson terlepas baki semua aksi liga musim ini.

Chelsea berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, The Blues memasukkan pemain pertahanan England, Reece James menggantikan Noni Madueke.

Chelsea hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Marc Cucurella. Percubaan rendah pertahanan Sepanyol itu berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Nick Pope.

Pope sekali lagi menjadi penyelamat The Magpies apabila menafikan percubaan Enzo Fernandez pada minit ke-84.

Guimaraes memastikan tiga mata milik Newcastle dengan percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-90. Keputusan ini menyaksikan Newcastle kini memintas City dengan 66 mata.

The Blues pula kekal di tangga kelima liga dengan 63 mata. Tonali dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 7.9.

Selepas ini, Newcastle akan menentang Arsenal pada 18 Mei. Chelsea pula akan melayan finalis Liga Europa UEFA (UEL), Manchester United pada 17 Mei.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments