Chelsea masih gagal menemui rentak kemenangan dalam 2 perlawanan berturut-turut apabila tewas kepada Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park.
Chelsea bermula garang di awal permainan apabila terlebih dahulu melakukan percubaan ke gawang Everton menerusi Enzo Fernandez pada minit kelima namun diselamatkan penjaga gol, Jordan Pickford.
Pickford sekali lagi menjadi penyelamat pasukannya setelah berjaya menepis keluar percubaan jarak jauh dari Cole Palmer pada minit ke-13 sekaligus melegakan para peminat tuan rumah.
Everton yang mengejutkan Newcastle United pada perlawanan lalu, sesekali hadir dengan percubaan merbahaya ke gawang gol Chelsea seperti voli dari Jack Harrison yang sedikit tersasar pada minit ke-24.
Kedua-dua pasukan giat melancarkan serangan ke arah gawang lawan namun tiada jaringan dapat dihasilkan menjadikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, aksi berbalas serangan kekal ditampilkan kedua-dua pasukan namun Everton terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Abdoulaye Doucore pada minit ke-54.
Anak-anak buah Mauricio Pochettino terus mengatur rencana untuk mencari jaringan penyamaan dengan percubaan dari Cole Palmer dan Marc Cucurella gagal menemui sasaran.
Kemasukan beberapa pemain seperti Raheem Sterling dan Nicolas Jackson dilihat masih gagal membantu jentera serangan Chelsea untuk menembusi benteng pertahanan Everton yang mempamerkan aksi berdisiplin ketika bertahan.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan 1-0, pemain muda Everton, Lewis Dobbin hadir dengan rembatan kencang dari dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol kedua pasukannya pada masa tambahan.
Tamat perlawanan, Everton 2-0 Chelsea
Kekalahan ini menyebabkan Chelsea tersungkur ke tangga ke-11 liga dengan kutipan 19 mata manakala Everton kekal berada di kedudukan ke-17 liga setelah 16 perlawanan.
Aksi Liga Perdana Inggeris seterusnya bakal menyaksikan Chelsea FC melayani kunjungan pasukan tercorot liga, Sheffiled United FC di Stamford Bridge manakala Everton FC akan membuat perhitungan dengan Burnley FC.