Chelsea terpaksa akur kehilangan mata apabila diikat seri oleh Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Setelah cemerlang mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah, Chelsea berkunjung ke Merseyside untuk berdepan Everton yang cemerlang mengikat Arsenal tanpa jaringan pada aksi minggu lalu.
Pengurus Everton, Sean Dyche menaruh harapan besar buat kapten, James Tarkowski di barisan pertahanan dalam usaha mengekang asakan serangan Chelsea diketuai Cole Palmer dan Nicolas Jackson.
Permainan dilihat lebih banyak dikuasai oleh Chelsea dengan peratusan kawalan bola yang tinggi selain hampir mencetak jaringan menerusi tandukan Jackson namun hanya mengenai tiang gol Everton.
Walaupun tampil bertahan, tuan rumah turut miliki peluang terbaik untuk mendahului hasil percubaan tonggak tengah, Orel Mangala sebelum tiang sekali lagi menjadi penghalang buat jaringan.
Separuh masa pertama tamat, Everton 0-0 Chelsea.
Bersambung babak kedua, Everton hadir menguji pintu gol Chelsea dengan percubaan jarak dekat oleh Jack Harrison sebelum Robert Sanchez menafikan peluang keemasan di awal aksi.
Anak didik Enzo Maresca mula tertekan untuk memburu gol dengan masa yang semakin suntuk meskipun memperoleh peluang terhidang hasil sepakan percuma yang diberikan oleh pengadil.
Aksi di Goodison Park berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Saingan EPL seterusnya menyaksikan Chelsea bakal bertemu jiran setempat, Fulham sambil Everton dijadualkan berdepan juara bertahan, Manchester City di Stadium Etihad.