EPL: Chelsea Ratah Spurs 2-0
MakanBola
Shaun Botterill/Getty Images

Punah sudah harapan Antonio Conte untuk mencuri tiga mata daripada pasukan lamanya, Chelsea. Ini selepas Tottenham yang dikemudinya tewas 2-0 di tangan Blues di Stamford Bridge.

Seperti Liverpool, Chelsea juga mahu merapatkan kedudukan mata dengan Manchester City selepas Citizens diikat Southampton 1-1. Sementara Spurs pula mahu membalas dendam selepas kecundang di tangan lawan sama dalam saingan separuh Piala Carabao/Piala Liga. Sekiranya menang, Tottenham boleh merampas kedudukan keempat daripada Manchester United.

Ad

Pada babak pertama, Chelsea mendominasi perlawanan dengan Spurs sekali-sekala melancarkan serangan balas. Tetapi peluang terbaik untuk gol daripada pasukan pelawat. Spurs menyangka mendahului menerusi jaringan ayam tambatan mereka, Harry Kane pada minit ke-40. Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan selepas VAR mengesan Kane menolak sedikit bek tengah veteran Brazil, Thiago Silva semasa menjaringkan gol.

Ad

Jaringan ofsaid itu ibarat ucapan motivasi terbaik pengurus Thomas Tuchel untuk anak buahnya semasa rehat. Pada babak kedua, Blues lebih bertenaga mengasak kubu Spurs. Dan hasilnya pada minit ke-47. sepakan kencang Hakim Ziyech menerjah penjuru atas gawang Tottenham. Dua minit kemudian, Ziyech hampir menambah jaringan menerusi sepakan dari jarak 18 meter. Bagaimanapun, ia berjaya diselamatkan penjaga gol Hugo Lloris.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Spurs cuba mengatur serangan balas. Tetapi gawang mereka bocor lagi pada minit ke-55 menerusi tandukan Silva. Selepas Japhet Tanganga didapati mengasari Calum Hudson-Odoi, sepakan percuma Mount disudahkan oleh bekas bek tengah Paris Saint Germain itu.

Ad

Spurs cuba bangkit menerusi tandukan kencang Kane pada minit ke-86 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Kepa Arrizabalaga. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Bagi Spurs dan Conte, mereka amat memerlukan pemain baru untuk memastikan kempen musim ini dianggap berjaya. Bekas bos Inter Milan itu pasti berharap rayuannya didengar oleh pengerusi kelab Daniel Levy.

Ad

Bagi Blues pula, kemenangan ini ibarat amaran kepada Citizens bahawa perebutan kejuaraan liga masih panjang. Dengan Liverpool turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace, apa saja boleh berlaku dalam persaingan merebut kejuaraan EPL.

Ad