EPL: Chelsea Tambah Derita Everton
MakanBola
Chelsea FC
Sponsors

Chelsea meneruskan rentak kemenangan dalam liga apabila menewaskan Everton di Stamford Bridge.

The Blues perlu menang jika mahu kekal menghuni slot kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL). The Toffees pula mahu memburu kemenangan di Stamford Bridge buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

Ad

Romeo Lavia membuat kemunculan pertama selepas berehat panjang kerana kecederaan serius. Beto menggantikan Armando Broja untuk mengetuai jentera serangan Everton.

Chelsea juga turun tanpa kelibat pengurus Itali, Enzo Maresca yang menjalani penggantungan perlawanan. Tempat beliau digantikan penolong pengurus, Willy Caballero.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Chelsea berusaha mendapatkan gol menerusi Pedro Neto, Noni Madueke, Nicolas Jackson dan Cole Palmer.

Ad

Madueke hampir meletakkan The Blues di hadapan pada minit ke-15. Malangnya, rembatan beliau berjaya ditepis penjaga gol utama England, Jordan Pickford.

Ad

Chelsea meraih gol pendahuluan menerusi Jackson 12 minit selepas itu. Kesilapan Beto mengawal bola pantas dihukum Trevoh Chalobah.

Enzo Fernandez menghantar bola yang pantas disudahkan Jackson untuk gol ke-10 beliau dalam musim 2024/25. Ini gol pertamanya dalam 13 perlawanan liga.

Tersentak, Everton cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, pengurus Everton, David Moyes memasukkan Carlos Alcaraz untuk menambah bisa di bahagian serangan.

Peluang terbaik pelawat menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-62 menerusi Beto. Walau bagaimanapun, percubaan penyerang Guinea-Bissau itu dinafikan Robert Sanchez.

Madueke terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Everton. Beliau cuba menggandakan kelebihan Chelsea pada minit ke-73 tetapi Pickford sekali lagi menjadi penghalang.

Everton terus berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini sudah cukup buat The Blues memintas Nottingham Forest di tangga keempat liga. Meskipun kedua-dua pasukan berkongsi 60 mata, Chelsea memiliki kelebihan dari segi gol.

Everton pula kekal di tangga ke-13 dengan 38 mata. Sofascore memilih bek kiri Sepanyol, Marc Cucurella dan Pickford sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8.

Selepas ini, Chelsea mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir Liga Konferens Europa UEFA (UECL) menentang Djurgaden pada 2 Mei. Everton pula akan menentang Ipswich Town pada 3 Mei ini.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments