EPL: Chelsea Tiada Masalah Kalahkan Kelab Ke-16 Liga, Manchester United
MakanBola
Manchester United FC

Impian Chelsea untuk layak ke saingan Eropah terus menyala setelah menumbangkan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Sabtu

Aksi tumpuan EPL di London ini menjadi perhatian ramai oleh kerana Chelsea ketika ini sedang berjuang hebat bagi berada dalam kedudukan 4 teratas tatkala United pula terperosok di zon bawahan.

Kesebelasan utama United dibarisi nama-nama hebat seperti Bruno Fernandes, Harry Maguire dan Andre Onana manakala Chelsea turun tanpa penyerang utama, Nicolas Jackson yang digantung 3 aksi

Tuan rumah dikejutkan dengan gol pembukaan seawal minit ke-15 menerusi tampanan mudah oleh Harry Maguire namun jaringan bek tengah United itu dibatalkan hasil semakan VAR akibat ofsaid.

Suasana di stadium menjadi riuh seketika apabila rembatan Enzo Fernandez mengenai tangan pemain United, Rasmus Hojlund akan tetapi tiada sepakan penalti dihadiahkan oleh pengadil.

Separuh masa pertama tamat, Chelsea 0-0 Manchester United.

Kembali dari rehat, Chelsea pada mulanya diberikan sepakan penalti setelah Andre Onana didakwa menjatuhkan Tyrique George sebelum pengadil membatalkannya selepas semakan VAR.

Jaringan yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-71 apabila hantaran lintang oleh Reece James ditanduk kencang oleh Marc Cucurella untuk menewaskan Andre Onana di pintu gol United.

Aksi di Stamford Bridge berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Chelsea.

Selepas ini, Chelsea akan menentang pasukan pencabar iaitu Nottingham Forest di laman lawan dalam saingan EPL tatkala Manchester United akan fokus kepada perlawanan akhir UEL bertemu Spurs.