Advertising
EPL: Dua Gol Awal Pacu Man United Benam Cabaran Luton Town
EPL
MakanBola
Manchester United

Tentangan sengit yang diberi tuan rumah, Luton Town gagal menghalang Man United daripada merekodkan kemenangan kelima berturut-turut dalam liga yang berlangsung awal pagi tadi.

United yang dibimbing pengurus Belanda, Erik ten Hag berharap dapat menang buat kali kelima untuk terus menghambat Tottenham Hotspur dan Aston Villa.

Sementara The Hatters yang dibimbing Rob Edwards pula perlu meraih kemenangan untuk menjarakkan diri mereka dengan kelompok tiga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ad

Malangnya, tuan rumah bermula dengan langkah kiri di Kenilworth Road. Kesilapan Amari’i Bell pantas dihukum Rasmus Hojlund untuk menyumbat gol seawal minit pertama.

Ad

Gol tersebut menjadikan penyerang The Red Devils itu sebagai penyerang termuda EPL yang menjaringkan gol dalam enam perlawanan liga berturut-turut.

Enam minit kemudian, United semakin selesa mendahului. Sepakan Alejandro Garnacho terkena dada Hojlund sebelum menembusi gawang Luton yang dikawal Thomas Kaminski.

Ad
Ad

The Hatters kemudiannya merapatkan jurang menerusi kapten dan penyerang utama mereka, Carlton Morris pada minit ke-14. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, permainan terus rancak di Kenilworth Road membabitkan kedua-dua pasukan yang memburu kemenangan atas sebab berbeza.

The Red Devils berpeluang menambah kelebihan jaringan tetapi beberapa percubaan mereka berjaya dinafikan Kaminski.

Ini termasuk percubaan satu lawan satu membabitkan Garnacho dan penjaga gol Belgium itu pada minit ke-66.

Luton turut berpeluang menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain tengah Everton, Ross Barkley. Bagaimanapun, tandukannya melepasi palang pada minit akhir babak kedua sekaligus memastikan United pulang dengan tiga mata.

Bisa Hojlund yang meledakkan dua gol memastikan beliau dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.6 mata.

United selepas ini bakal melayan kunjungan Fulham di Old Trafford pada 24 Februari. Sementara Luton pula bertandang ke Anfield untuk turun menentang Liverpool pada 22 Februari.