EPL: Dua Kad Merah Hiasi Kemenangan Man City Ke Atas Bournemouth
MakanBola
Manchester City

Kad merah tidak menghalang Man City daripada meraih kemenangan ke atas Bournemouth dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad.

City memburu kemenangan bukan saja bakal membolehkan mereka kembali menduduki tempat ketiga. Malah, aksi ini juga dilihat peluang terbaik memberi hadiah perpisahan kepada kapten, Kevin De Bruyne.

Ini kerana pemain perancang Belgium itu bakal meninggalkan The Citizens pada akhir musim. The Cherries pula berharap kemenangan dapat menghidupkan sisa harapan kelayakan ke Eropah.

De Bruyne mengetuai kuartet serangan City bersama Erling Haaland, Bernardo Silva dan Omar Marmoush. Evanilson menjadi sandaran gol utama Bournemouth.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah berusaha mencari gol awal untuk menembusi gawang pelawat yang dikawal Kepa Arrizabalaga.

Marmoush mencipta antara gol terbaik EPL musim ini dengan melepaskan rembatan dari jarak 30 kaki pada minit ke-14.

11 minit kemudian, De Bruyne hampir menggandakan kelebihan tuan rumah selepas menerima hantaran Marmoush. Malangnya, percubaan jarak dekat beliau terkena palang.

Evanilson menyangka telah meraih gol penyamaan buat The Cherries pada minit ke-33. Walau bagaimanapun, palang gol menjadi penghalang.

City akhirnya menggandakan kelebihan mereka menerusi Silva pada minit ke-38. Silva tenang menewaskan Arrizabalaga selepas menerima hantaran Ilkay Gundogan.

Gol tersebut memastikan City mendahului 2-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, pengurus Bournemouth, Andoni Iraola memasukkan David Brooks menggantikan pemain sayap Belanda, Justin Kluivert.

City kemudiannya bernasib malang apabila Mateo Kovacic diperintah keluar padang pada minit ke-67. Ini selepas beliau dikesan menarik Evanilson semasa cuba membuat larian ke arah gawang tuan rumah.

Bournemouth kemudiannya senasib dengan City apabila kapten, Lewis Cook pula dibuang padang enam minit selepas itu. Cook dilayangkan kad merah kerana membuat terjahan merbahaya ke atas Nico Gonzalez.

Gonzalez menamatkan sisa perjuangan Bournemouth dengan menyumbat gol ketiga City pada minit ke-89. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan The Citizens kembali memintas Newcastle United di tangga ketiga dengan 68 mata. Bournemouth pula kini di tangga ke-11 dengan 53 mata.

Sofascore memilih Silva sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mengatasi cabaran Gundogan dengan markah 8.1.

Selepas ini, City akan menutup musim dengan menentang Fulham pada 25 Mei. Bournemouth pula akan menentang Leicester City pada hari yang sama.