Aksi tumpuan minggu pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan Erling Haaland muncul wira Man City untuk menewaskan Chelsea di Stamford Bridge.
City yang bergelar juara musim lalu dijadualkan bertemu jaguh dari London, Chelsea yang melakukan rombakan termasuk melantik pengendali dari Itali, Enzo Maresca.
Pemenang kasut emas, Erling Haaland mengetuai jentera serangan Man City sementara Cole Palmer bersama Chris Nkunku dan Nicolas Jackson ditugaskan untuk merobek gawang pelawat.
Seawal minit ke-17, pelawat membuka tirai jaringan hasil gerakan Erling Haaland yang mudah melepasi kawalan 2 pemain Chelsea sebelum menewaskan Robert Sanchez di pintu gol.
Chelsea cuba bangkit merencana serangan dalam usaha memburu gol penyamaan namun jaringan Nicolas Jackson seminit sebelum rehat telah dibatalkan kerana ofsaid.
Separuh masa pertama tamat, Chelsea 0-1 Man City.
Kembali dari rehat, permainan bertambah rancak dengan Chelsea mula membawa masuk pemain-pemain baharu seperti Pedro Neto yang memberi impak di posisi sayap kiri.
Serangan demi serangan dilancarkan kedua-dua pasukan menuju ke 10 minit terakhir permainan namun ketumpulan barisan pengempur menyebabkan tiada perubahan pada kedudukan.
Bekas pemain Chelsea, Mateo Kovacic menghadiahkan gol kedua buat Man City pada minit ke-83 setelah rembatan kencang beliau terus menerjah ke gawang Sanchez.
Perlawanan di Stamford Bridge berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Man City.
Chelsea akan bertandang ke laman Wolves dalam aksi liga seterusnya sementara Man City bakal melayani kunjungan pendatang baharu liga, Ipswich Town di Stadium Etihad.