EPL: Everton Seksa Liverpool Dengan Nota Kekalahan
EPL
Liverpool FC
Advertisements

Everton mencipta kejutan terbesar apabila berjaya menewaskan Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi yang menyebabkan hasrat Liverpool memenangi kejuaraan liga tampak sukar.

Selepas sekian lama dibelenggu dengan krisis kecederaan, Liverpool akhirnya berjaya menurunkan kesebelasan terbaik dengan gandingan trio serangan berbisa Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Luis Diaz.

Perlawanan dimulakan dengan penguasaan ditampilkan pasukan Liverpool. Untuk beberapa minit permulaan perlawanan, kedua-dua pasukan saling berbalas gerak serangan namun Everton dilihat lebih merbahaya.

Advertisements

Everton mempunyai peluang keemasan pada minit ke-17 hasil percubaan Dominic Calvert-Lewin namun penjaga gol Liverpool, Alisson Becker berjaya menyelamatkannya dengan baik.

Selepas serangan demi serangan yang dilancarkan, Everton akhirnya berjaya memecah kebuntuan melalui jaringan Jarrad Branthwaite pada minit ke-27 hasil rembatan leret ke gawang Liverpool. Alisson pada awalnya berjaya menyelamatkan percubaan tersebut namun agak malang apabila bola itu tetap bergolek masuk ke pintu gol.

Tersentak dengan gol tersebut, Liverpool menggandakan asakan ke kubu Everton. Penyerang Uruguay, Darwin Nunez hampir menyamakan kedudukan buat Liverpool pada minit ke-34 namun rembatan jarak dekatnya berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol Everton, Jordan Pickford.

Advertisements

Biarpun Liverpool menyerang dan terus menyerang, tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan sekali gus mengakhiri babak pertama dengan keputusan 1-0 memihak Everton.

Bersambung babak kedua, Liverpool terus menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan merbahaya bagi menyamakan kedudukan.

Ketika Liverpool sedang asyik menyerang, Everton memberikan kejutan sekali lagi melalui jaringan kedua, kali ini hasil tandukan Dominic Calvert-Lewin yang menyudahkan sepakan sudut Dwight Mc Neil. Everton di hadapan dengan kedudukan 2-0.

Advertisements

Jaringan kedua Everton itu tidak mematahkan semangat Liverpool. Serangan terus dilakukan ke benteng Everton yang dijaga rapi James Tarkowski.

Liverpool mempunyai peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan melalui Luis Diaz pada minit ke-67 namun rembatan lencong pemain itu hanya singgah ke tiang gol tatkala penjaga gol Everton sudah tertewas.

Beberapa percubaan merbahaya Liverpool selepas itu juga hampir membuahkan jaringan namun Pickford mempamerkan ketangkasan untuk menafikan setiap percubaan.

Advertisements

5 minit masa tambahan yang diberikan oleh pengadil juga gagal dimanfaatkan oleh Liverpool sekali gus mengakhiri perlawanan dengan keputusan 2-0 memihak Everton.

Kemenangan ini mengekalkan Everton di tangga ke-16 liga dengan mengumpul 33 mata manakala agak perit buat Liverpool apabila kehilangan tiga mata untuk memberikan tekanan kepada Arsenal di puncak liga.

Selepas ini, Everton akan berhadapan Brentford pada 28 April manakala Liverpool pula bakal menjadi pasukan pelawat kepada West Ham United pada 27 April.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram