EPL: Fulham Calar Rekod Kebal Liverpool
MakanBola
Liverpool FC
Sponsors

Rekod 26 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa kalah Liverpool lebur apabila tewas kepada Fulham di Craven Cottage.

The Reds memerlukan 11 mata daripada tujuh perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan liga. The Cottagers pula mahu bangkit selepas tewas 2-1 kepada Arsenal baru-baru ini.

Ad

Mohamed Salah, Cody Gakpo dan Diogo Jota menjadi taruhan pengurus Liverpool, Arne Slot. Rodrigo Muniz menjadi sandaran gol pengurus Fulham, Marco Silva.

Separuh masa pertama menyaksikan Fulham mendakwa mereka sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti pada minit kelima.

Ad

Ini selepas Caoimhin Kelleher didakwa menjatuhkan Andreas Pereira dalam kotak penalti. Walau bagaimanapun, bantahan The Cottagers tidak dilayan pengadil, Chris Kavanagh.

Ad

Liverpool kemudiannya mendahului pada minit ke-14 menerusi rembatan kencang pemain tengah Argentina, Alexis Mac Allister.

Ad

Keceriaan kem The Reds hanya bertahan selama sembilan minit. Ryan Sessegnon menceriakan Craven Cottage apabila meledakkan gol penyamaan buat tuan rumah.

Bekas bintang Arsenal, Alex Iwobi kemudiannya meletakkan Fulham di hadapan pada minit ke-32. Rembatan deras Iwobi menerjah penjuru atas gawang Liverpool.

Pelawat makin derita apabila Muniz menambah gol ketiga lima minit selepas itu. Kegagalan pertahanan The Reds mengeluarkan bola dihukum Muniz yang menolak bola melepasi Kelleher.

Liverpool berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, The Reds terus meningkatkan tekanan ke atas gawang The Cottagers yang dikawal Bernd Leno.

Jota hampir menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-48 selepas menerima hantaran Salah. Malangnya, percubaan beliau pantas disekat bekas penjaga gol Arsenal itu.

Slot kemudiannya memasukkan Luis Diaz, Conor Bradley, Harvey Elliott dan Darwin Nunez untuk menambah ketajaman jentera serangan pelawat.

Kemasukan Diaz membuahkan hasil apabila menyumbat gol kedua Liverpool pada minit ke-72 selepas menerima hantaran Conor Bradley.

Liverpool terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi benteng Fulham kental menyerap setiap asakan pelawat. Itu sudah cukup membantu The Cottagers meraih kemenangan 3-2 ke atas The Reds.

Meskipun tewas, Liverpool masih kekal menerajui liga dengan 73 mata. Fulham pula di tangga kelapan dengan 48 mata, dua mata di belakang Newcastle United.

Sofascore memilih Iwobi sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.2. Beliau jauh meninggalkan Sessegnon, Mac Allister, Diaz dan Bradley yang meraih 7.4 mata.

Selepas ini, Fulham akan berdepan Bournemouth pada 15 April. Liverpool berharap dapat bangkit apabila menentang West Ham pada 13 April.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments