EPL: Gol Dramatik Oscar Bobb Bantu Man City Tewaskan Newcastle United
EPL
Manchester City
Advertisements

Gol dramatik Oscar Bobb membantu juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Man City menewaskan Newcastle United di St. James Park awal pagi ini.

Dengan Liverpool hanya beraksi pada minggu hadapan, City berharap kemenangan hari ini dapat merapatkan jurang mata daripada lima kepada dua mata.

Sementara The Magpies pula berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas mengalahkan musuh setempat, Sunderland dalam aksi pusingan ketiga The FA Cup baru-baru ini.

Advertisements

Babak pertama menyaksikan City bernasib malang apabila penjaga gol sandaran Stefan Ortega terpaksa dikeluarkan pada minit kelapan akibat kecederaan.

Ini memaksa jurulatih Sepanyol, Pep Guardiola memasukkan Ederson bagi menjaga gawang pelawat daripada ditembusi barisan serangan Newcastle.

Advertisements

The Citizens mendahului tuan rumah pada minit ke-26 menerusi pemain sayap Portugal, Bernardo Silva selepas menyudahkan hantaran Kyle Walker.

Bagaimanapun, The Magpies memastikan mereka mendahului 2-1 pada rehat separuh masa. Dua gol tersebut masing-masing disumbang oleh Alexander Isak dan Anthony Gordon pada minit ke-35 dan 37.

Advertisements

Bersambung pada babak kedua, City menggandakan asakan ke atas kubu Newcastle bagi mendapatkan gol penyamaan.

Malangnya, setiap gerakan serangan mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan tuan rumah diketuai bek tengah Switzerland, Fabian Schar.

Advertisements

Keadaan ini mendorong Guardiola memasukkan pemain tengah menyerang Belgium, Kevin de Bruyne. De Bruyne kembali cergas selepas terpaksa berehat lama akibat kecederaan.

Kemasukan pemain Belgium itu memberi impak segera kepada City. Lima minit selepas dimasukkan pada minit ke-69, de Bruyne menceriakan pelawat dengan gol penyamaan.

Bekas pemain Chelsea itu kemudiannya bertindak sebagai pencipta gol dengan melorongkan bola yang disudahkan Bobb untuk gol kemenangan pada minit ke-91.

Impak besar yang dibawa de Bruyne menjadikan beliau sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Sofascore memberinya 8.5 mata, 0.1 mata di hadapan rakan sepasukan, Rodri.

Keputusan ini membolehkan City merampas tempat kedua daripada Aston Villa dengan 43 mata. Sementara Newcastle pula di tangga ke-10 dengan 29 mata.

Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali ke saingan The FA Cup untuk aksi pusingan keempat kejohanan. The Magpies bakal berdepan Fulham di Craven Cottage pada 28 Januari.

Sementara The Citizens pula berdepan Tottenham Hotspur pada 27 Januari.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram