Man City memerlukan gol pada minit ke-94 untuk mengatasi cabaran Aston Villa dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL).
City perlu menang jika mahu memintas pencabar terdekat, Nottingham Forest. Villa turut membawa misi sama jika mahu memintas Newcastle United yang menduduki tangga kelima.
Marcus Rashford menjadi sandaran gol pengendali Villa, Unai Emery. The Citizens pula memilih Nico Gonzalez dan James McAtee sebagai pengganti Mateo Kovacic dan Savinho.
Separuh masa pertama menyaksikan City terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Bernardo Silva.
Meskipun penjaga gol The Villains, Emiliano Martinez berjaya mencapai bola, beliau tidak mampu menghalang Silva menolak bola ke dalam gawang.
Keceriaan kem City hanya bertahan selama sembilan minit. Pemain Aston Villa berang apabila pengadil, Craig Pawson tidak menganugerahkan penalti walaupun Jacob Ramsey dijatuhkan dalam kotak penalti.
Selepas pegawai VAR, John Brooks meminta beliau menyemak semula insiden berkenaan, barulah penalti diberi kepada pelawat.
Rashford tenang menewaskan penjaga gol The Citizens, Stefan Ortega bagi menjadikan kedudukan 1-1.
Kedua-dua pasukan berusaha memburu gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Emery memasukkan Axel Disasi dan John McGinn untuk memburu gol kedua pelawat.
Villa bernasib baik apabila mereka tidak dibolosi pada minit ke-61. McAtee cuba melambungkan bola melepasi Martinez tetapi percubaannya sekadar melepasi palang.
Dua minit selepas itu, Kovacic yang masuk sebagai pemain gantian menguji kecekapan Martinez. Percubaan derasnya berjaya dinafikan penjaga gol Argentina itu.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Matheus Nunes muncul wira pada minit ke-94. Beliau pantas menyudahkan hantaran Jeremy Doku yang menewaskan Martinez.
Gol tersebut memastikan City di tempat ketiga dengan 61 mata, satu mata di hadapan Forest. Villa pula kekal di tangga ketujuh liga dengan 57 mata.
Sofascore memilih pemain tengah Belgium, Kevin de Bruyne sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8.
Selepas ini, kedua-dua pasukan mengalihkan fokus untuk aksi separuh akhir The Emirates FA Cup. The Villains akan berdepan Crystal Palace pada 26 April.
The Citizens yang juga naib juara kejohanan musim 2023/24 pula akan berdepan Bournemouth pada 27 April.